Penyelaras program, Amry Manzlin Ahmad berkata, bengkel anjuran bersama Panitia Sains dan Matematik SAMT Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz itu bertujuan untuk mencungkil bakat dan minat murid dalam mata pelajaran sains dan matematik.
Katanya, melalui program ini, murid dapat membuang persepsi yang mengatakan mata pelajaran sains dan matematik ini sebagai sukar, membebankan dan membosankan.
"Kita mahu murid yang menyertai bengkel ini menolak tanggapan bahawa belajar sains dan matematik itu susah, sebaliknya menjadikan mata pelajaran tersebut sebagai menarik untuk dipelajari.
"Dalam bengkel ini, beberapa kumpulan dibentuk dengan setiap kumpulan terdiri daripada tiga orang murid.
"Jadi setiap murid dapat bekerjasama dengan rakan sekumpulannya menimba pengalaman secara terus melalui aktiviti yang dijalankan termasuk memasang komponen model kereta solar sehingga ianya berfungsi," katanya.
Menurut Amry Manzlin, bengkel tersebut turut mendapat kerjasama tenaga pengajar dan teknikal daripada Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB).
"Tenaga pengajar dan teknikal dari KKSB membantu murid membina kreativiti dan inovasi mereka dalam memasang komponen kereta solar.
"Secara tidak langsung, murid dapat mengaitkan keupayaan tenaga solar yang boleh ditukar kepada tenaga elektrik sekaligus dapat menggerakkan motor elektrik pada kereta yang dibina," jelasnya.
Bengkel ini juga bagi mempersiapkan murid menyertai pertandingan kereta solar pada Program Sains, Teknologi, Inovasi dan Robotik anjuran Myrobotz Enterprise dengan kerjasama Pusat Sains Negara yang turut disokong Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 19 November ini di Kolej Segi, Subang Jaya. Katanya.
"Jadi, murid didedahkan asas membina model kereta solar secara terperinci dan mengetahui fungsi setiap komponen yang digunakan dalam model kereta solar yang dipasang.
"Pada saya, bengkel ini berjaya mencapai objektifnya apabila semua kumpulan dapat membina model kereta solar masing-masing.
"Jelas terselah wajah teruja dan senyuman puas murid apabila model kereta solar itu berfungsi semasa diuji," tambahnya.
0 comments:
Post a Comment